Thursday 23 July 2009

Sebagai seorang hamba yang fakir dan lemah

Dalam risalah "Al-Munajat", Imam Al-Syahid Hasan Al-Banna memberi dorongan agar anggota Ikhwanul Muslimin melakukan Qiyamullail. Beliau berkata;

"Wahai saudaraku, boleh jadi waktu terbaik untuk bermunajat adalah; engkau berkhalwat dengan Tuhanmu di saat orang-orang sedang tidur nyenyak dan seluruh alam menjadi hening; pada ketika malam melabuhkan tirainya dan bintang-bintangnya telah menghilang; engkau mengingati Tuhanmu, mengakui kelemahanmu dan keagungan Tuhanmu. Itu semua membuatkan kamu merasa kemesraan di hadapanNya, hatimu tenang dengan mengingatiNya, engkau merasa gembira dengan kurnia dan rahmatNya menangis kerana takut kepadaNya menyedari pengawasanNya, tidak pernah jemu berdo'a kepadaNya, bersungguh-sungguh beristighfar, mengadu seluruh keperluan kepada Zat yang tidak pernah lemah oleh sesuatupun dan tidak dilekakan oleh segala sesuatu. Firmannya;

Sesungguhnya keaadaan kekuasaanNya apabila ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada(hakikat) benda itu: "Jadilah engkau!" Maka ia terus menjadi(36:82)

Bermohonlah kepadaNya untuk kepentingan duniamu, akhiratmu, jihadmu, da'wahmu, cita-citamu, harapan-harapanmu, tanah airmu, keluargamu, dirimu sendiri, dan saudara-saudaramu:

..... dan kemenangan itu hanyalah dari Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.(3:126)


Kemesraan dan keni'matan jiwa saat melakukan qiyamullail dan munajat dapat melupakan kepenatan badan dan keletihan kaki. Rasulullah Sallallahu'alaihi wassalam melakukan qiyamullail dan memanjangkan masa berdiri hingga dua kakinya yang mulia bengkak, namun ia tidak merasa sakit kerana tenggelam dengan kemesraan menghampirkan diri kepada Allah. Sebahagian orang salih berkata:"Tiada satu waktu di dunia yang menyamai keni'matan akhirat, kecuali waktu yang dilalui oleh ahli tahajjud yang merasakan lazatnya munajat." Mari berusaha meni'mati kelazatan tersebut!

Akhir sekali saya katakan kepadamu wahai saudaraku, bangunlah di waktu malam sebagai seorang hamba yang fakir dan lemah tertunduk-tunduk di waktu malam untuk mengetuk pintu TuhaNya Yang Maha Pemurah: ia berdiri di depan pintuNya dalam keadaan merendah diri, merasa lemah, mengakui kelalaian dan dosa-dosaNya, serta menaruh harapan besar untuk mendapatkan rahmat, kerelaan dan syurgaNya.

Wahai saudaraku, ketuklah pintu Tuhanmu di kegelapan malam dengan melakukan sembahyang yang khusyuk, beberapa sujud panjang, beberapa do'a yang tulus, beberapa tasbih dan beberapa tititsan air mata kerana takut kepadaNya, serta yakinlah bahawa Tuhanmu akan mengabulkan do'a-do'amu. Janganlah kamu lupa untuk berdo'a dalam suasana penuh kebaikan berada di sisiNya agar diberikan kemenangan dan kekuasaan bagi agamaNya serta berdo'alah untuk saudara-saudaramu tanpa mereka sedari.

Hai jiwaku, bertasbihlah dan salatlah!
saat urusan-urusan berat-berat menyerangmu
Apabila hati sudah merasa letih
dari beban kehidupan yang melelahkan
Alirkan air mata, wahai jiwa
lalu tumpahlah ia ke dalam salat
Sesungguhnya Tuhan alam semesta mendengar
tangisan jiwa memohon kasihNya

Rujukan:Bekalan Di Sepanjang Jalan Da'wah(Mustafa Masyhur)