Sunday 28 June 2009

Janganlah kamu tidur malam melainkan dalam keadaan begini

Wahai saudaraku!

Bermujahadahlah dan ber'amallah dengan ikhlas dan iltizam dengan syari'at Allah serta istiqamah pada suruhanNya.

Berusahalah bersungguh-sungguh agar engkau tidak mempunyai hutang kepada seseorang apabila mati, dan hutang kepada Allah adalah lebih utama untuk ditunaikan.

Berusahalah bersungguh-sungguh agar engkau berlapang dada terhadap saudara seIslam ketika bertemu Allah.

Ketahuilah, martabat ukhwah yang paling rendah adalah berlapang dada dan yang tertinggi adalah ithar(mengutamakan sahabat).

Oleh itu, janganlah kamu tidur malam melainkan dengan keadaan begini. Bersegeralah saudaraku untuk bertaubat dan beristighfar sebelum ajal tiba.

Bekalan Di Sepanjang Jalan Dakwah(Mustafa Masyhur)

Saturday 13 June 2009

Bai'ah Aqabah Pertama

Al-Imam al-Bukhari telah meriwayatkan di dalam al-Sahih.

Dari 'Ubadah bin al-Samit RadiyaLlahu' anhu bahawa Rasulullah SallaLahu' alaihi Wassalam telah bersabda kepada kami ketika ia dikelilingi oleh beberapa orang sahabatnya ;

"Berbai'ahlah (berjanji lah dengan setia) kepadaku bahawa kamu tidak menyengutui ALlah Subhanahu Wa Ta'ala dengan yang lain, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak kamu, tidak berbohong (dengan merekakan tuduhan atau fitnah) yang sengaja diadakan samada terhadap dirimu atau orang lain dan jangan kamu derhaka dalam perkara yang baik.

Maka sesiapa yang setia di kalangan kamu maka ganjarannya di sisi ALlah, dan sesiapa terkena kepadanya amalan-amalan buruk(yang tersebut) lalu ia menerima tindakan hukuman di dunia maka kifarah baginya (tidak dibalas lagi di akhirat).

Sesiapa yang terkena kepadanya dengan mengerjakan perkara-perkara itu kemudian ALlah Subhanahu Wa Ta'ala melindunginya dari diketahui oleh orang di dunia ini maka terserahlah kepada ALlah. Jika Ia kehendaki nescaya diampuninya dan jika Ia kehendaki nescaya dihukumnya(dengan hisab pada hari Akhirat) lalu kamu pun berbai'ah di atas perkara itu".

Dari keterangan yang tersebut ternyatalah bahawa yang telah menganut Islam dari Madinah atau Yathrib itu bukannya sekadar melafazkan ikrar dua Kalimah Syahadah, bahkan meliputi ucapan lidah dan jazam di hati dan beriltizam dengan apa yang diucap dan dibai'ahkan kepada Rasulullah SallaLlahu'alaihi Wassalam. Malah mereka bersedia untuk meletakkan sibghah ALlah yang terkandung dalam ajaran Islam itu kepada seluruh kehidupan mereka.

Apa yang disebut di dalam bai'ah pertama ini adalah asas-asas penting bagi pembinaan individu dan masyarakat samada dalam aspek 'aqidah, juga akhlak dan perlaksanaan Islam di dalam semua bidang. Bai'ah yang dilakukan itu bukan sahaja merupakan perisytiharan bagi mereka untuk menerima Islam tetapi juga perisytiharan menentang jahiliyyah. Segala yang terkandung di dalamnya adalah sangat bertentangan dengan pegangan dan amalan jahiliyyah.

Rujukan: Fiqh Al-Harakah dari Sirah Nabawiyyah (1)